Wednesday, October 5, 2011

Ancelotti idam Arsenal, Tottenham, Liverpool

LONDON: Carlo Ancelotti memberi isyarat dia bersedia menerima mana-mana tawaran untuk mengendalikan salah satu daripada tiga kelab Liga Perdana Inggeris - Arsenal, Tottenham atau Liverpool.
Ancelotti kini menganggur selepas dua tahun mengendalikan Chelsea, tetapi dia bertegas tidak akan melepaskan peluang untuk sekali lagi menjadi pengurus kelab liga berkenaan tanpa menyebut nama kelab tertentu.
“Saya mahu mengendali pasukan yang mampu bersaing di kelompok teratas dan saya masukkan Tottenham dan Liverpool dalam kategori itu. Kedudukan Arsene Wenger di Arsenal tampak goyah kebelakangan ini dan pengendali pasukan kebangsaan, Fabio Capello bakal diganti jurulatih Inggeris, jadi akan ada kekosongan di salah satu kelab itu.

“Bagaimanapun saya tidak terburu-buru. Walaupun tidak mengendali sebarang kelab ketika ini, saya tidak risau. Malah, saya menikmati hidup saya sekarang. Untuk seorang jurulatih, negara ini adalah yang terbaik. Perbezaannya ialah corak latihan dan rentak permainan. 

“Di Itali, sukar untuk mendapat latihan maksimum di pertengahan minggu, tetapi di England, ia sebaliknya - sukar untuk mengurangkannya. Di sini budaya kerjanya berbeza dan suasana di stadium dipenuhi minat dan rasa hormat. Dua tahun bersama Chelsea, saya tidak pernah diejek penyokong lawan.” 

Menurut Ancelotti, presiden kelab di Itali lebih kerap ditemuramah berbanding jurulatih. 
Ancelotti juga mengakui Alex Ferguson antara pengurus terbaik dalam sukan ini. “Semakin lama, semakin saya menyukai Ferguson,” katanya. “Dia jurulatih luar biasa. Dia tidak melatih secara terus - tetapi mengagihkan tugasnya kepada pasukan yang hebat di sekelilingnnya.- Agensi