AIZAT menghiburkan penonton dengan himpunan lagu popularnya.
BAKAT seninya mula dikesan di sebuah pentas yang agak kecil iaitu di Dewan Sivik di Petaling Jaya. Waktu itu penyanyi bernama Muhammad Aizat Amdan ini sedang mencari tapak dalam bidang seni dengan menyertai program realiti Akademi Fantasia.
Malam kelmarin, jejaka berusia 22 tahun ini mencatat sejarah peribadi dalam kalendar kerjaya seninya apabila berpeluang mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas pula, yang diketahui cukup eksklusif dan hanya mereka yang benar-benar bertuah berpeluang beraksi di lokasi itu.
Bukan calang-calang penyanyi yang mampu untuk berdiri di pentas itu, dan ternyata, bakat serta usaha yang tidak pernah mengenal erti jemu berjaya membawa langkah Aizat ke situ.
Membuka tirai persembahan sekitar jam 8.40 malam, anak kelima daripada enam beradik ini memilih lagu Susun Silangkata sebagai lagu pertama. Susunan muzik yang menarik dengan lirik yang penuh bermakna itu berjaya membangkitkan mood di kalangan penonton.
Sambil diiringi 12 pemuzik dan dua penyanyi latar, Aizat mencanai jiwa penonton dengan alunan melodi yang kebanyakannya adalah hasil ciptaan bersama abangnya, Anas. Lagu rancak seperti Fikirlah, Kau dan Aku, Years From Now serta Kau dan Aku dituang kepada penonton yang begitu mendambakan persembahan bertenaga daripadanya.
Tampil dengan imej ringkas iaitu berseluar jeans ketat dan kemeja rona merah, Aizat memperlahankan seketika momentum persembahannya dengan menyanyikan lagu Hanya kau Yang Mampu dengan diiringi petikan piano Belle Fatah. Tidak dinafikan vokal Aizat kala menyanyikan lagu ini cukup menggetarkan jiwa, sehinggakan dia mendapat tepukan gemuruh sebaik saja selesai menyanyikan lagu itu.
Sambutan menggalakkan yang diterimanya disambut anak muda ini dengan penuh teruja.
"Terima kasih kerana hadir pada malam ini. Saya begitu teruja kerana sudah lama saya mahu mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas. Baru sekarang impian itu tercapai," ujarnya.
Aizat bijak membaca selera penonton. Barangkali, pengalaman mengadakan persembahan dan juga konsert bergerak sebelum ini membuatkan dia tahu apa yang dimahukan penggemarnya.
Seperkara yang menjadikan Aizat penyanyi yang istimewa ialah vokalnya yang ampuh serta penghayatannya dalam mengalunkan bait lirik cukup puitis. Itulah kelebihannya apabila seorang penyanyi mendendangkan sendiri lagu ciptaannya.
Mesejnya sampai, umpama anak panah yang menembusi tepat ke dasar hati. Sayu rasanya apabila dia menyanyikan lagu Pergi dan Lagu Kita yang diakui kuat dari segi melodi dan seni katanya.
Pada malam itu, penonton yang hadir cukup bertuah kerana bukan saja disajikan dengan lagu popularnya, tetapi mereka juga berpeluang mendengar lagu terbaru bertajuk Jerrypah.
"Buat masa ini judulnya ialah Jerrypah. Lagu ini mengisahkan si lelaki yang sanggup membuang egonya demi seorang wanita. Insya-Allah, ia akan dimuatkan dalam album saya akan datang," ulasnya mengenai lagu rancak yang mempunyai pengaruh muzik kumpulan The Beatles, yang amat dikaguminya itu.
Sebagai tribute kepada kumpulan Alleycats, dia juga menyanyikan kembali lagu Senyumlah Kuala Lumpur dengan versi baru. Untuk menutup persembahan, Aizat memilih lagu kumpulan Dewa, Hadapi Dengan Senyuman sebelum meninggalkan pentas.
Secara keseluruhan, persembahan yang memakan masa hampir 80 minit itu berjaya meletakkan Aizat ke satu lagi aras yang lebih tinggi daripada kedudukannya sekarang.
Cuma apa yang perlu diperbaiki selepas ini ialah kemahiran komunikasinya dengan penonton. Sepanjang persembahan, ada ketika Aizat seperti tenggelam punca. Sepatutnya dalam persembahan sebegitu, sedikit sebanyak Aizat perlu bersedia, apakah bahan yang perlu disampaikan kepada penonton supaya ia tidak sampai mengganggu tumpuannya.
Untuk menjadi penghibur yang baik, bukan saja pandai menyanyi dan mencipta lagu tetapi juga mempunyai kemahiran berinteraksi dengan penonton. Apapun tahniah buat Aizat kerana berjaya menawan pentas berprestij itu selepas Yuna