Judul: Cara Terindah Untuk Mati Penulis: Rachmat Ramadhana Al-Banjari Penerbit: PTS Millennia Sdn Bhd Pengulas: Hasliza Hassan Harga: RM17 (Semenanjung Malaysia) RM19 (Sabah dan Sarawak)
Manusia tidak mampu menolak atau menunda kehadiran kematian walaupun ada saatnya kita ingin menghindari waktu yang sudah ditetapkan kerana takutkan pelbagai perkara antaranya tidak tahu apa bakal dihadapi selepas terjadi kematian itu.
Mahu atau tidak, suka atau tidak, hadiah kematian pasti akan tiba. Buku Cara Terindah Untuk Mati membicarakan persoalan mati yang dibahagikan kepada 12 bab bermula pendidikan mengenai asal usul manusia, jasad dan roh.
Turut dikembangkan ialah topik jenis kematian iaitu kematian alami apabila roh dan jasad terpisah hingga tiada denyutan nadi; fenomena mati suri sebagai tidur panjang hingga berhari-hari, berminggu bahkan berbulan dan kematian kecil ketika roh terpisah dari jasad ketika tidur.
Ada enam petanda datangnya kematian bagi memudahkan kita lebih tekun mempersiapkan diri menghadapinya. Petanda ini mengingatkan kita mengenai kematian, sama ada kita menyedari petanda itu atau tidak.
Antaranya, Allah SWT mengutuskan malaikat seperti diriwayatkan Aisyah, Nabi SAW bersabda: “Apabila Allah SWT mahukan kebaikan pada manusia, Allah SWT mengutus malaikat kepadanya sebulan sebelum kematiannya bagi memperbaiki amalannya dan menjadikannya manusia yang mengerjakan amal soleh.”
Tanda lain ialah proses penjemputan roh, awal kematian, musibah, kematian tiba-tiba serta dua malaikat berwarna hitam dan putih yang dijelaskan penulis buku bersandarkan sunnah.
Bab proses tercabutnya roh dari jasad mengambil contoh pengalaman dilalui Nabi Adam seperti diriwayatkan dan pengalaman itu seterusnya menjadi ikutan manusia menguruskan jenazah hingga hari ini.
Untuk mengetahui proses kematian kekasih Allah, orang mukmin dan orang kafir, dapatkan buku Cara Terindah Untuk Mati yang turut memuatkan hikmah mengingati kematian serta persediaan bekalan menghadapi kematian.